Pilih Bahasa

MALAYSIA UNGGULI TIGA KATEGORI DALAM ASIAN MOUNTAINBIKE SERIES 2018

Oleh Alfred Petrus

Mohd Faizikry (kiri) dan Ainie menerima tajaan World Cycling Center di Korea selepas masing-masing dinobatkan juara keseluruhan untuk kategori men dan women junior. Gambar SNT/Alfred Petrus

TAMBUNAN: Peserta Malaysia berjaya mengungguli tiga kategori secara keseluruhan dalam Asian Mountainbike Series 2018 UCI Junior XCO world Series Malaysian National MTB Championship setelah berjaya mengumpul mata tertinggi dalam sembilan siri pertandingan yang diadakan di beberapa negara di Asia.

Vandee Lanjim, Ainie Markus dan Mohd Faizikry Jumah masing-masing dinobatkan sebagai Johan keseluruhan bagi kategori Men Master, Women Junior dan Men Junior.

Manakala, bagi Kategori Women Elite dijuarai oleh Ya Yu Tsai dari Chinese Taipei dan Kategori Men Elite dijuarai oleh peserta dari Kazakhstan, Kirill Kazantsev.

Kesemua hadiah pemenang disampaikan oleh Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani pada program Asian Mountainbike Series yang juga merupakan siri terakhir pada tahun ini yang di Tandarason Resort and Country Club (TRCC) dan Sinurambi di sini baru-baru ini.

Ketika ditemui media selepas menyampaikan hadiah para pemenang, Jumain mengalu-alukan mana-mana persatuan untuk menganjurkan pelbagai program di Tambunan yang memberi manfaat dari segi sosioekonomi kepada komuniti setempat.

“Daerah Tambunan cuba berusaha untuk melobi penganjuran besar di masa-masa akan datang sekiranya pihak penganjur antarabangsa melihat di kawasan Tambunan ini sesuai untuk penganjuran di peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan satu peluang untuk daerah Tambunan dan ini untuk mengetengahkan daerah ini sebagai pusat pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, sembilan siri pertandingan pada tahun ini telah diadakan di Indonesia, Jepun, Filipina dan Brunei Darussalam.

Selain itu, Ainie dan Mohd Faizikry yang juga berasal Nabawan dan Ranau turut dipilih menjalani latihan melalui tajaan daripada World Cycling Center di Korea. -SabahNewsToday