Pilih Bahasa

Mana isu royalti minyak 20 peratus? – Umno Sabah

KOTA KINABALU: Umno Sabah mahu satu Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri ditubuhkan dengan segera yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang bagi memastikan rundingan Perjanjian Malaysia tidak lari daripada manifesto Kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan.

“Kerajaan Sabah wajib memberi penjelasan dan keterangan kepada Jawatankuasa Khas ini supaya isu-isu yang dibincangkan tidak lari dari manifesto kerajaan Warisan dan PH.

“Dapatan Jawatankuasa Khas ini perlu diumumkan kepada rakyat Sabah juga,” kata pemangku Ketua Umno Tuaran merangkap Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Gambar Fail SNT

Menurutnya pengumuman kerajaan PH dan Warisan mengenai persetujuan isu-isu rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menepati kehendak rakyat Sabah.

Dari tujuh isu yang telah dipersetujui, isu tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan sebenarnya telah diluluskan pada tahun 2017 semasa kerajaan Barisan Nasional, katanya.

Katanya lagi isu kedua iaitu pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sabah masih belum diputuskan walaupun ianya dikatakan isu yang telah selesai.

“Isu ketiga mengenai penubuhan Jawatankuasa baharu untuk membincangkan mekanisme perlaksanaan projek kerajaan persekutuan di Sabah hanyalah satu cara untuk mencari alasan dan bukan satu penyelesaian.

“Isu keempat mengenai kebenaran kepada Sabah untuk mengujudkan perundangan subsidiari mengenai buruh bukan isu yang menjadi keutamaan nombor satu dalam kehidupan harian rakyat Sabah.

“Malah rakyat akan bertanya jika perundangan subsidiari itu boleh mengatasi perundangan utama mengenai buruh di peringkat pusat yang terikat kepada perundangan antarabangsa (ILO),” katanya.

Isu kelima yang telah diselesaikan ialah mengenai kesihatan di Sabah.

“Apa yang telah diluluskan ialah penubuhan satu lagi jawantankuasa baharu membincangkan perkara berkaitan kesihatan di Sabah. Maknanya ini bukan penyelesaian tetapi hanyalah tindakan mengujudkan jawatankuasa bersama yang sebenarnya boleh dijalankan oleh Menteri Sabah yang menjaga kesihatan dan Menteri Kesihatan Pusat.

“Apa bidang kuasa Menteri Kesihatan Sabah? Kenapa tidak jelaskan?” soalnya.

Abdul Rahmah berkata isu keenam mengenai pentadbiran pelancongan di Sipadan dan Ligitan sebenarnya tidak mempunyai kesan besar kerana kerajaan negeri Sabah memang mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang sedia ada terhadap apa yang berlaku di Sipadan dan Ligitan.

Isu ketujuh pula hanya bersifat akademik iaitu menggugurkan isu pertanian dan perhutanan dari perbincangan kerana isu-isu tersebut memang dalam bidang kuasa Sabah.

“Dari tujuh perkara yang telah dipersetujui, tidak ada satu pun yang menyentuh janji utama kerajaan Warisan iaitu soal royalti minyak 20 peratus. Kerajaan Warisan gagal dalam isu ini. Itulah hakikatnya,” katanya.

Beliau menambah memandangkan kerajaan Warisan dan kerajaan pusat selalu mendabik dada tentang kerajaan terbuka, maka Umno Sabah mahu semua perincian diumumkan secara terbuka.

“Rakyat Sabah berhak untuk mengetahui apa yang sedang dituntut dan dibincang oleh kerajaan Sabah. Ini penting kerana semua yang dibincangkan itu akan memberi kesan besar kepada rakyat Sabah di masa hadapan,” katanya.-SabahNewsToday