Pilih Bahasa

Mangsa culik rakyat Malaysia kritikal tapi stabil

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Datuk Omar Mammah. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datu Omar Mammah mengesahkan rakyat Malaysia yang dipercayai diculik pada 6 Disember lalu iaitu Jari Abdullah, 34, cedera dalam kejadian berbalas tembakan di antara tentera Filipina dan militan Abu Sayyaf di tempat persembunyian kumpulan itu di sebuah pulau di Filipina kelmarin.

Omar berkata Jari yang terkena tiga das tembakan pada belakang, perut dan paha dilaporkan kritikal tetapi stabil dan masih dirawat di sebuah hospital di negara tersebut.

“Kita dimaklumkan warga kita yang diculik pada 6 Disember lalu telah ditembak semasa kejadian pada 4 April lalu kira-kira pukul 4.25 petang apabila tentera kerajaan Filipina menyerbu tempat persembuyian Abu Sayyaf.

“Ekoran sebuan itu berlaku tembak menembak di antara tentera kerajaan dan militan. Kita dilaporkan Jari terkena tiga tembakan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes penculikan membabitkan seorang rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia yang diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Disember lalu.

Kesemua mangsa merupakan nelayan dan selain Jari, dua warga Indonesia dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa mereka yang dipercayai diculik dan berada di suatu tempat di Filipina.

Dalam pada itu Omar berkata pihaknya akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Filipina dari masa ke semasa selain berusaha untuk membawa keluarga mangsa (Jari) ke Filipina untuk menemuinya. – SabahNewsToday