Pilih Bahasa

Mangsa kebakaran di Putatan mohon bantuan kerajaan negeri bina semula rumah

Sebahagian kawasan kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) – Mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, dekat sini, semalam, berharap kerajaan negeri akan dapat membantu mereka membina semula rumah baharu di kawasan itu.

Ketua Kampungnya Masdur Ali Akhbar berkata, pihaknya meminta kawasan kebakaran itu ditimbus tanah dan diratakan sebelum proses pembahagian lot atau tapak rumah kepada mangsa terlibat dilakukan.

“Kami meminta ia ditimbus tanah dan diratakan selepas itu disusun mengikut lot, ada ruang atau jarak antara satu rumah dengan rumah lain, dan tidak terlalu rapat kerana sebelum ini rumah terlalu rapat. Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu kami kerana kami orang tempatan dan sudah lama tinggal di sini.

“Apa yang penting bagi kami adalah rumah. Meskipun tidak dalam kadar segera sebab saya faham perlu ada perbincangan teliti, namun, sekurang-kurangnya dalam tahun ini kami ada tempat tinggal sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Putatan, hari ini.

Sebanyak 55 rumah setinggan di kampung itu musnah dalam kejadian kebakaran 12.30 tengah hari semalam dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta rumah yang dibina terlalu rapat.

Seramai 315 penghuni daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu dengan keseluruhan keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar.

Harapan sama disuarakan Matjani Laiman, 68, yang mahu kerajaan negeri membina semula rumah baharu di tapak sama memandangkan beliau sudah begitu lama tinggal di kampung itu sejak 45 tahun lalu.

“Kami merayu kerajaan negeri membantu kami. Kami tidak minta apa-apa cuma mahukan rumah sahaja,” katanya, yang menceritakan beliau tidak berada di rumah semasa kejadian tetapi ada isteri serta menantunya sedang membuat kuih untuk dijual di pasar tamu hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah Asiah Arrifin, 45, melahirkan rasa sedih dan terkilan kerana rumah yang baharu siap dibina lebih kurang dua minggu lepas musnah sekelip mata dalam kebakaran itu.

“Kami pindah di sini pada 2017 dan perlahan-perlahan kami membina rumah. Apabila yang dibuat sudah nampak hasilnya, tetapi tiba-tiba musnah. Saya tidak tahu mahu kata apa lagi,” katanya dalam nada sebak.

Asiah turut berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka membina semula rumah kerana itu yang lebih penting buat mereka sekeluarga.

“Saya ada beritahu ketua menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) semasa beliau melawat kami di sini, beliau cakap jangan susah hati kami (kerajaan negeri) akan bantu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri kerana prihatin dan mengambil berat tentang keadaan kami di sini,” katanya.

— BERNAMA