Pilih Bahasa

Mangsa kebakaran Kampung Sumandalom, Kemabong terima bantuan

KEMABONG: Sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sumandalom dekat sini minggu lalu mendapat perhatian wakil rakyat kawasan itu.

Mangsa, Sambayang Kiri, 60 berkata keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila segala barang keperluan harian dan dokumen penting musnah dalam kebakaran pukul 4 pagi itu.

Jamawi (empat kiri) menurunkan bantuan alat-alat binaan rumah dalam lawatan kali kedua di lokasi kejadian.Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Kemabong

Kejadian dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebelum api cepat merebak ke bahagian lain dan memusnahkan seluruh rumah papan tersebut.

Disebabkan jarak lokasi kejadian terlalu jauh dari pekan Tenom, rumah mangsa sudah pun terbakar sepenuhnya sebaik pasukan bomba tiba.

Sambayang yang tinggal bersama isteri dan seorang anak tetap bersyukur kerana semua mereka selamat dalam kejadian yang dikatakan berlaku dengan sangat pantas itu.

Jamawi (dua kanan) bersama mangsa kebakaran, Sambayang melihat sisa sisa kebakaran semasa ziarah pertamanya.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Kemabong

Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar yang dimaklumkan tentang kejadian ini turun padang menghulur bantuan dengan dua lawatan.

Kunjungan pertama selain menyampaikan ucapan simpati kepada mangsa, Jamawi turut menghulurkan bantuan makanan dan kewangan selain berjanji membantu menyediakan alat-alat binaan bagi membina kediaman sementara mangsa yang ketika ini menumpang di rumah kebudayaan di kampung tersebut.

Pada kunjungan kedua kelmarin, Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan membawa bersama alat-alat binaan seperti papan dan sebagainya sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

“Hari ini sekali lagi saya melakukan ziarah kepada keluarga mangsa dengan membawa alat-alat binaan bagi menyiapkan rumah sementara untuk mereka tinggal.

“Selepas ini saya akan usahakan memohon peruntukan dari kerajaan agar mangsa ini diberikan keutamaan untuk memperolehi rumah PPRT,” katanya ketika ditemui di sini.

Jamawi menyertai gotong royong bersama penduduk setempat memasang lantai rumah sementara mangsa kebakaran semasa lawatan kedua di Kampung Sumandalom.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Kemabong

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kemabong Burnley Balang.

Sementara itu Sambayang ketika ditemui menzahirkan ucapan penghargaan kepada Jamawi yang disifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

“Saya bersama keluarga merasa amat terharu dengan kesudian serta kesungguhan beliau (Jamawi) membantu kami dalam menghadapi saat sukar ini begitu juga kepada pemimpin masyarakat yang lain di kawasan ini,” katanya.-SabahNewsToday