Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat yang terjejas akibat kebakaran memusnahkan 81 buah rumah pada 13 Januari lalu terus mendapat perhatian.
Meskipun menempuh kesukaran akibat disebabkan jarak perjalanan yang jauh melalui laut, Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah turun padang bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada para penduduk yang terjejas.

Menurut Ketua Pemuda Amanah, Khairuddin Daud sumbangan berupa beras, minyak, milo dan keperluan makanan yang lain disumbangkan dalam misi pertama bencana kebakaran kampung tersebut yang dilakukan oleh Amanah.
“Pihak Angkatan Tentera Malaysia daripada Kem Sri Kudat telah memberikan bantuan tiga buah bot ke Pulau Banggi bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

“Turut menyumbang Komander Askar Wataniah Negeri Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah dalam misi kali ini. Orang ramai diharap dapat terus menghulurkan sumbangan agar keadaan Pulau Banggi dapat dipulihkan dalam masa yang segera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya Amanah Sabah turut mengumpulkan sumbangan kepada para penduduk yang terjejas dan orang ramai boleh menghantar barangan sumbangan di Pusat Pengumpulan Sumbangan.

Katatanya mereka juga boleh menghubungi alamat Pejabat Parti Amanah Negara Sabah, Lot 13, Tingkat 1, Blok B, Lorong Plaza Permai, Alamesra Shop, Sulaman Coastal Highway atau menghubungi 010 2282250.
Jelasnya sumbangan berbentuk wang boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Pertubuhan Muafakat Sabah (MUAFAKAT) 560232126858. – SabahNewsToday