Pilih Bahasa

Manifesto: USNO janji kahwin kali pertama dapat hadiah RM1,000

Tan Sri Pandikar Amin Mulia

KOTA KINABALU, 16 Sept  — Rakyat Sabah yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama, akan menerima hadiah perkahwinan sebanyak RM1,000 sekiranya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept ini.

Jaminan itu terkandung dalam manifesto USNO yang dilancarkan Ketua Umumnya Tan Sri Pandikar Amin Mulia di sini hari ini.

Antara janji USNO dalam manifesto itu ialah:

  • hadiah kelahiran RM300 bagi setiap anak Sabah
  • pembiayaan perubatan kepada rakyat Sabah sehingga RM10,000
  • bantuan sekurang-kurangnya RM500 sebulan kepada warga emas
  • bantuan khas RM500 kepada orang miskin/yatim/piatu/ibu tunggal
  • wang segera RM500 kepada keluarga terlibat dalam kes perceraian dan hilang punca pendapatan
  • setiap pelajar sekolah rendah dan menengah menerima RM100 
  • RM1,000 akan diberikan kepada setiap pelajar yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi
  • khairat kematian RM1,000
  • sumbangan RM500 kepada setiap keluarga kurang berkemampuan menjelang perayaan besar
  • sebuah kenderaan jenazah di setiap daerah
  • bantuan susu segar, pakaian seragam dan kelengkapan sekolah seperti buku, pen, pensil, kasut dan stokin kepada setiap pelajar
  • bil elektrik kurang daripada RM50 dan bil air kurang daripada RM30 dikecualikan bayaran
  • bantuan RM30-RM150 bagi kos pengangkutan awam pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU
  • bantuan RM500 kepada petani, nelayan dan penternak yang terjejas pada musim tengkujuh/banjir, kemarau dan bencana
  • bantuan segera RM5,000-RM10,000 kepada ketua keluarga yang menjadi mangsa kemusnahan rumah akibat bencana alam, kebakaran atau kecelakaan
  • menyediakan 30,000 peluang pekerjaan baharu
  • dana tahunan RM10 juta untuk industri kecil di peringkat kampung
  • dana RM100 juta untuk memajukan golongan masyarakat terlibat sektor pertanian, perikanan dan penternakan
  • dana aktiviti belia RM10,000-RM50,000 di setiap kampung
  • dana RM10 juta kepada lepasan institusi pengajian tinggi bagi membayar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
  • dana RM30 juta untuk membantu belia memulakan perniagaan di pusat sehenti
  • dana tahunan aktiviti wanita RM10,000-RM25,000 di setiap kampung

— BERNAMA