Pilih Bahasa

MAPS bakal jadi R&R

Oleh Mohd Nazllie Zainul

IPOH: Movie Animation Park Studios (MAPS) terus komited bagi menarik lebih ramai pengunjungnya dengan menjadikan taman tema animasi itu sebagai salah sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara).

Pegawai Eksekutif MAPS, Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor berkata inisiatif berkenaan dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke taman tman terbabit.

Pegawai Eksekutif MAPS, Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor. Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Mohamed Shafeii berkata ia juga usaha untuk  menyediakan kemudahan kepada semua pengguna lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak dan dijangka bakal dilaksanakan secara rasminya dalam masa terdekat.

“Kita sudah mengadakan perbincangan mengenai cadangan ini dan pihak pengurusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilihat berminat dengan idea itu untuk menjadikan MAPS sebagai R&R yang baharu.

“Menerusi pembukaan lencongan terus masuk ke MAPS ini juga secara tidak langsung mampu mengurangkan kekesakan trafik terutamanya di kawasan R&R sedia ada terutamanya di R&R Kuala Kangsar, R&R Tapah dan R&R Simpang Pulai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan media sempena program Kembara Media Perak (KMP) 2019, dekat sini, semalam.

KMP 2019 anjuran Jabatan Penerangan disertai sebanyak 23 wakil agensi media tempatan seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak akan menjelajah beberapa lokasi menarik di sekitar negeri Perak antaranya Taman Negeri Royal Belum, Muzium Arkeologi Lenggong dan Kilang Pembuatan Labu Sayong.

Kembara berkenaan berlangsung selama empat hari bermula 28 Jun sehingga 1 Julai ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Mdia dan Komunikasi Korporat JaPen, Radziah Mohd Sharif berkata bertujuan penganjuran kembara media itu adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai inisiatif dan kejayaan kerajaan dalam melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. -SabahNews Today