Pilih Bahasa

MARA Sabah sasar lebih ramai usahawan food truck di seluruh negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah mensasarkan lebih ramai usahawan di negeri ini menceburi perniagaan food truck di bawah pembiayaan agensi berkenaan.

Pengarah MARA Sabah, Suhaimi Zainuddin berkata pihaknya ketika ini hanya menerima serta sudah meluluskan satu permohonan sahaja berkaitan perniagaan terbabit.

Pengarah MARA Sabah Suhaimi Zainuddin (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Aziayan Aziz ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci Food Truck di pejabat MARA Sabah di Asia City, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita yakin masih ramai peniaga atau usahawan di negeri ini berminat membuka pernigaan seumpama ini termasuklah di daerah seluruh negeri namun mungkin ada dalam kalangan mereka ini kurang maklumat dan tidak berani untuk memulakannya selain bimbang mengenai isu perlesenan serta lokasi.

“Jangan bimbang tentang perkara ini dan datang terus bertemu MARA untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan bimbingan.

“Sekiranya usahawan berminat mahu memohon pembiayaan, kita akan bantu sehingga mereka berjaya dan boleh berdikari.

Suhaimi Zainuddin. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan promosi dalam kalangan usahawan terutamanya di daerah sekitar Sabah agar mereka boleh tampil dan berbincang dengan MARA untuk menceburi perniagaan ini,” katanya ketika media pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Food Truck Pertama MARA Sabah, dekat sini, hari ini.

Mengetengahkan makanan ala kampung tempatan Sabah dan Semenanjung, food truck pertama MARA itu dijangkakan akan mula beroperasi minggu hadapan di tiga lokasi iaitu Kampung Air, Damai dan Tuaran.

Antara menu permulaan termasuklah bakso ibu, coto makasar Sandakan, nasi banjir dan nasi ganja.

Aziayan Aziz ketika ditemui pemberita selepas penyerahan kunci Food Truck miliknya di pejabat MARA Sabah di Asia City, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, Suhaimi berkata MARA Sabah mensasarkan kira-kira tiga hingga empat buah food truck di bawah pembiayaan pihaknya sebelum akhir tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai pembiayaan terbabit, beliau menyatakan pihaknya menawarkan skim pembiayaan sehingga maksimum RM250,000 tetapi jumlah yang akan diluluskan bergantung kepada keperluan pengusaha berkenaan selain food truck turut mempunyai pelbagai jenis dan saiz.

“Kita mahu perniagaan food truck ini menjadi trend di negeri ini sama seperti di Semenanjung. Usahawan di sana menyajikan menu yang pelbagai samada makanan mahupun minuman malahan menjual makanan ‘fusion’ memandangkan ia menjadi pilihan generasi muda masa kini,” katanya. -SabahNews Today