Pilih Bahasa

Maritim Malaysia gagalkan pencerobohan bot nelayan Vietnam

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan sebuah bot nelayan Vietnam yang menangkap gamat secara haram kira-kira 45 batu nautika dari pulau Mantanani, dekat sini semalam.

Dalam ‘Operasi Naga Timur’ jam 10.15 pagi itu, Maritim Malaysia Sabah menahan tekong dan empat awak-awak warga Vietnam serta merampas peralatan menangkap gamat.

Tekong dan awak-awak warga Vietnam ditahan pasukan Maritim Malaysia Sabah kerana menangkap hidupan laut secara haram kira-kira 45 batu nautika dari pulau Mantanani. -Gambar SNT / Ihsan Maritim Malaysia

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Sabah, Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan selepas menggeledah bot berkenaan menemui peralatan menangkap gamat di perairan negara.

“Selain itu, tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen bertulis atau lesen daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap gamat di perairan negara.

“Tekong dan awak-awak warga Vietnam juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pendaftaran,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Muhammad Suffian, tekong dan awak-awak berusia 28 hingga 58 tahun dibawa ke Jeti Maritim Sabah, Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1958/1963.

Peralatan yang digunakan menangkap gamat dirampas pasukan Maritim Malaysia Sabah. -Gambar SNT / Ihsan Maritim Malaysia

“Kapal Maritim Malaysia berjaya menjejaki bot nelayan Vietnam ini dalam Operasi Naga Timur yang dilaksanakan Maritim Malaysia pada awal Ogos lalu.

“Menerusi operasi ini juga pihak maritim sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara untuk dijual ke luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara. -SabahNewsToday