Pilih Bahasa

Maritim Malaysia rampas 86 karton rokok seludup dan tembakau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Maritim Malaysia merampas 86 karton rokok pelbagai jenis dan tembakau. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 86 karton rokok pelbagai jenis dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui perairan Telukan Lahad Datu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata turut dirampas dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu ialah sebanyak 100 paket tembakau. 

Beliau berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan 

tanggungjawab mengesan dua bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian. 

“Apabila menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, kedua-dua bot suspek meluncur laju ke kawasan darat dan tekong serta awak-awak bertindak melarikan diri. 

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, anggota Maritim Malaysia menemui 86 karton rokok pelbagai jenis dan 100 paket tembakau dipercayai diseludup masuk ke daerah ini. 

“Kedua-dua bot yang digunakan suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran yang sama dan disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau berkata rokok dan tembakau dianggarkan bernilai RM22,700 dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. 

Katanya kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS). – SabahNewsToday