Pilih Bahasa

Maritim Malaysia rampas bot pam bersama peralatan bom ikan

Oleh Junaidi Ladjana

Bot pam tanpa nombor pendaftaran bersama ikan dan bahan letupan ditahan pasukan Maritim Malaysia Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Maritim

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pam bersama bahan letupan bom ikan di 0.2 batu nautika Timur Laut Tanjung Sindian, di sini malam tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot pam berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot samaran Maritim ketika menjalankan Ops Naga Timur di kawasan perairan Kota Kinabalu pukul 8.35 malam.

“Bot samaran Maritim cuba mendekati bot pam untuk pemeriksaan namun orang yang disyaki membawa bot pam memecut laju ke tebing lalu melompat ke darat dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

“Selepas diperiksa didapati bot pam memiliki ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan dan disyaki membuat serta memiliki bahan letupan iaitu bom ikan dan ‘denator’,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, bot bersama rampasan kemudian di bawa ke Jeti Maritim Sepanggar, untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Peralatan bahan letupan dan ikan ditemui di dalam bot pam yang ditahan ketika menjalankan Ops Naga Timur di perairan Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Maritim

Katanya kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah ( JPDS) 2002 dan Akta Bahan Letupan 1957. 

Dalam pada itu Kamaruszaman berkata pihaknya akan sentiasa meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan Sabah bermula dari Zon Maritim Labuan hingga ke Zon Maritim Semporna untuk mengekang aktiviti jenayah laut.

Jelas beliau, beberapa operasi khas akan dirancang dan dilaksanakan oleh Maritim Sabah untuk membanteras dan menjejak mereka yang mendalangi aktiviti-aktivit yang melanggar undang-undang laut di Malaysia.

“Pihak Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat dan membuat aduan berkenaan apa sahaja aktiviti laut yang melanggar undang-undang di laut. 

“Selain itu pihak maritim juga menasihat kepada semua komuniti maritim agar tidak mengabaikan aspek keselamatan apabila melakukan aktiviti di laut,” katanya. – SabahNewsToday