Pilih Bahasa

Maritim Malaysia Tawau gagalkan cubaan seludup keluar syabu bernilai RM2.5 juta

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan seludup keluar 17 kilogram syabu bernilai RM2.5 juta, dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, anggota Maritim Malaysia yang menjalankan rondaam Operasi Pluto Timur menyedari sebuah bot laju mencurigakan di perairan 2.6 batu nautika tenggara persisir pantai Batu Payung.

Sidang media rampasan syabu seberat 17 kilogram dianggarkan bernilai RM2.5 juta. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata bot rondaan Maritim Malaysia bertindak mengekori secara senyap selama kira-kira lima minit sebelum disedari oleh juragan lalu memecut laju meloloskan diri.

Beliau berkata pihaknya kemudian menuju ke lokasi persisir pantai berkenaan dan mendapati dua lelaki bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan beg jenis plastik berwarna kuning.

“Siasatan lanjut mendapati beg plastik berkenaan berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang dibungkus di dalam pek teh cina jenama ‘GuanYinWong’ dan dibalut menggunakan plastik hitam bagi mengaburi mata penguatkuasa.

“Kita percaya dadah seberat 17kg bernilai RM2.5 juta itu cuba diseludup ke negara jiran,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini hari ini.

Siva Kumar menunjukkan lokasi tangkapan syabu yang dilakukan pihak Maritim Malaysia. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Siva Kumar berkata rampasan dadah berkenaan adalah kejayaan pertama dan terbesar dilakukan pihak Maritim Malaysia daerah ini.

“Ini adalah kejayaan pertama sejak penubuhan Maritim Malaysia di daerah ini dan kes ini akan disiasat oleh pihak Maritim Malaysia.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday