Pilih Bahasa

Maritim Malaysia Tawau rampas rokok tanpa cukai bernilai RM35,800

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 1,060 karton rokok seludup bernilai RM35,800 menerusi Operasi Pluto Timur, di perairan ini, semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu sepasukan anggota mengesan sebuah bot laju dipercayai dari negara Indonesia menuju ke Sungai Tawau dalam keadaan mencurigakan.

1,060 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM35,800 dirampas. Gambar SNT / Ihsan Nasrawati Syarifuddin

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya cuba menahan bot terbabit namun juragan bertindak memecut laju bot bagi meloloskan diri.

Katanya aksi kejar mengejar selama kira-kira lima minit berjaya memintas bot suspek.

Bagaimanapun juragan dan awak-awak bertindak terjun ke laut dan berenang ke kawasan cetek berhampiran Ice Box, Kampung Titingan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot, kita menjumpai 20 kotak diisi dalam plastik hitam.

Semua barangan terbabit dibawa menaiki bot dipercayai diseludup dari negara Indonesia. Gambar SNT / Ihsan Maritim Malaysia

“Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak terbabit mendapati pelbagai jenis rokok tanpa cukai antaranya rokok putih jenis Premium Gold (900 karton), Surya Gudang Garam (80) dan LA Menthol Light (80) dianggarkan bernilai RM35,800,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Tawau, hari ini.

Beliau berkata semua rokok termasuk bot kayu tidak bernombor, enjin sangkut dan tong minyak dengan nilai keseluruhan RM121,800 dirampas serta diiring ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya lagi tangkapan rokok itu adalah kes pertama direkodkan Maritim Malaysia Tawau pada tahun ini dan operasi itu turut mendapat kerjasama Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2).

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya. – SabahNewsToday