Pilih Bahasa

Maritim Sabah tahan lima juragan bot pelancong tidak berdaftar

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah berjaya menahan lima juragan bot pelancong tidak berdaftar dalam Operasi Khas ‘Ops Jelajah’ di sepanjang perairan Kota Belud, yang berakhir hari ini.

Dalam operasi selama dua hari berkenaan, Maritim Malaysia Sabah turut mengeluarkan kompaun terhadap empat jeti yang tamat lesen operasi termasuk sebuah jeti yang gagal memperbaharui lesen sejak 2014.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata sepanjang operasi itu, Maritim Malaysia Sabah berjaya memeriksa 16 bot pelancong.

Katanya, lima juragan yang membawa bot ditahan selepas didapati nama mereka tiada didaftarkan dalam lesen bot berkenaan.

“Antaranya kesalahan lain yang dikesan adalah bot masih beroperasi walaupun lesen tamat tempoh. Bot yang ditahan ini didapati membawa 20 pelancong asing terutama dari China dan Korea.

“Kelima-lima juragan berusia lingkungan 20 hingga 38 tahun itu masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Jeti Sutera Harbour, di sini hari ini.

Kamaruszaman berkata, semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Jabatan Laut untuk tindakan selanjut.

“Kesalahan ini amat dipandang berat oleh Maritim Malaysia kerana pengusaha bot pelancong yang tidak mengendahkan peraturan yang ditetapkan mengikut Enakmen JPDS 2002.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan (tengah) pada sidang media di Marina Sutera Harbour. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tindakan mereka itu mungkin membahayakan nyawa penumpang terutamanya pelancong asing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan pihaknya sedang giat melaksanakan Operasi Khas bersempena pelancaran Operasi Naga Timur yang dilaksanakan oleh pihak Maritim Malaysia sejak 1 Ogos 2019 lalu.

Katanya, operasi khas ini akan diteruskan bagi memastikan undang-undang dan peraturan di laut sentiasa dipatuhi semua pihak.

“Kita sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti jenayah di laut.

“Saya juga menegaskan bahawa pihak maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang melanggar undang-undang di laut,” katanya.-SabahNewsToday