Pilih Bahasa

MARITIM TAHAN DUA BOT NELAYAN TEMPATAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Bot nelayan tempatan yang ditahan Maritim Malaysia berikutan kesalahan melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah kedudukan tiga batu nautika berhampiran perairan Tobanka. – Gambar SNT/ Ehsan Maritim Malaysia Zon Maritim Sandakan

SANDAKAN: Dua bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dipercayai melanggar syarat sah lesen, semalam.

Semua bot nelayan berkenaan ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh peronda Maritim Malaysia atas kesalahan menangkap ikan di bawah tiga batu nautika dari pantai yang menyalahi Akta Perikanan 1985.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot pertama ditahan pada kedudukan 1.8 batu nautika manakala bot kedua dikenalpasti 15 minit kemudian dikedudukan 1.9 batu nautika dari perairan Tobanka.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot pertama mendapati ada seorang tekong bersama awak-awak warga Indonesia masing-masing berumur 28 tahun dan  mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Bot nelayan kedua pula terdapat dua lagi individu warga tempatan terdiri daripada seorang tekong dan awak-awak berumur 32 serta 31 tahun.

“Semua tekong dan awak-awak terbabit kini ditahan dan bot mereka diiringi ke jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserah kepada pegawai penyiasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd Khairulanuar mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama daripada masyarakat khususnya komuniti maritim sangat penting kerana mereka adalah golongan yang sering berada di laut selain tinggal di kawasan persisiran pantai.

“Sebarang maklumat atau kecemasan di laut, mereka boleh terus berhubung dengan bilik gerakan operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089 229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – SabahNews Today