Pilih Bahasa

MASA OPERASI PUSAT HIBURAN DILANJUTKAN PADA MUSIM PERAYAAN

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Masa operasi pusat hiburan di bandaraya ini akan dilanjutkan selama beberapa jam mengikut permintaan sempena perayaan Hari Krismas, sambutan ambang tahun baharu dan juga Tahun Baharu Cina.

Datuk Yeo Boon Hai. Gambar Fail SNT

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata pihaknya akan memberikan kelonggaran masa terbabit terutamanya di kawasan tumpuan pelancong luar.

“Masa operasi sesebuah pusat hiburan dihadkan sehingga jam 1 pagi dan jam 2 bagi hujung minggu, kita akan bantu dan memberikan kebenaran untuk memanjangkan tempoh operasi mereka mengikut permintaan terutamanya pada musim perayaan.

“Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan yang meminta agar masa operasi dipanjangkan di kawasan zon pelancongan meliputi pusat beli belah Imago sehingga ke Sutera Harbour,” katanya pada sidang media selepas melaksanakan Operasi Menangani Tikus di sini, pagi tadi.

Menurut Yeo, DBKK akan memberikan kelonggaran masa di premis hiburan dalam usaha meningkatkan kadar pelancongan di negeri ini khasnya kawasan bandaraya. -SabahNewsToday