Pilih Bahasa

MASA UNTUK MAJU KE HADAPAN

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah harus menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang menolak Saman Pemula Tan Sri Musa Aman, sekaligus mengekalkan Datuk Seri  Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata mahkamah yang sama juga menolak Saman Pemula yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Datuk Jahid Jahim berhubung pelantikan Jemaah Menteri.

Datuk Ewon Benedick. Gambar Fail SNT

Sehubungan itu, Ewon mengajak semua pihak, termasuk anggota pentadbiran awam bergerak ke hadapan dengan lebih harmoni untuk sama-sama memajukan negeri ini.

“Saya pasti keputusan penghakiman ini akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk tatapan umum dan seterusnya menjadi rujukan kes penting pada masa hadapan. Mari menghormati keputusan mahkamah ini.

“Dengan ini, tiba masanya bagi semua kita, sama ada Anggota Pentadbiran Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam serta rakyat dan sektor-sektor lain untuk move forward dengan lebih harmoni,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, pilihanraya umum ke-15 masih lama dan oleh itu semua pihak seharusnya mengisi masa dengan bekerjasama ke arah kebaikan rakyat Bangsa Sabah.

“Mereka (rakyat Sabah) berhak mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang stabil melalui urustadbir penyampaian awam yang lebih baik daripada sebelum ini.

“Rakyat juga berhak menikmati pembangunan kemudahan dan kemajuan ekonomi yang lebih baik dengan adanya kestabilan politik dan keharmonian kerjasama dalam penyampaian Kerajaan Sabah serta hubungan yang lebih baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini seharusnya menjadi fokus utama kita sekarang. Bagi rakan-rakan pimpinan Kerajaan Sabah, mari bekerja untuk melaksanakan yang terbaik buat rakyat negeri ini,” katanya.-SabahNewsToday/KPLB