Pilih Bahasa

Masalah banjir Jalan Rugading bakal berakhir: Madius

TUARAN: Pengguna jalan raya di sini bakal menarik nafas lega apabila masalah banjir yang sering melanda Jalan Rugading setiap kali hujan lebat diatasi kelak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata penyelesaian itu sebenarnya telah dimasukkan dalam reka bentuk projek lebuh raya Pan Borneo yang sebelum ini ditangguh bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Madius sedang mendengar taklimat dari JKR dan kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Hari ini saya telah diberi taklimat berkaitan dengan pelan pembinaan yang berfokus di jalan-jalan sekitar Telipok dan Tuaran oleh pihak Jabatan Kerja Raya dan kontraktor yang terlibat.

“Dalam pelan ini menunjukkan beberapa penaiktarafan termasuk penambahbaikan sistem saliran dan perparitan selain binaan jalan raya yang lebih sistematik untuk memastikan masalah banjir diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak sekitar Jalan Rugading di sini, hari ini.

Madius membuat lawatan tapak melihat kawasan saliran air keluar yang perlu dinaiktaraf di Rugading.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Projek Pan Borneo merangkap Jurutera (Awam) JKR Sabah, Mohd Shamsul Nizam Abd Wahid.

Menurut Madius, terdapat beberapa cabaran dalam menyelesaikan perkara ini.

“Namun saya percaya ia boleh diatasi dengan baik. Selain itu, projek ini juga terpaksa melibatkan pengambilan tanah terutama untuk kawasan tempat tinggal yang berdekatan dengan jalan raya.

“Walau bagaimanapun, saya memuji kerjasama pihak JKR dan JPS yang sepakat dan saling bantu membantu memastikan pelan perancangan projek ini dibuat dengan teliti sekali gus bakal memberi kelegaan kepada pengguna tegar jalan raya di sini,” katanya.

Sementara itu Shamsul ketika ditemui menjelaskan punca banjir adalah disebabkan saluran air yang kecil menuju ke luar (outlet) tidak mampu menampung takungan air yang dibawa hujan lebat.

Mohd Shamsul.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Namun, dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo ini, JKR Sabah akan membina satu lagi saluran air keluar (outlet) dan menambah baik sistem perparitan di sepanjang jalan raya.

“Manakala, JPS akan menaiktaraf outlet yang sedia ada agar dapat menampung pengaliran air yang banyak pada setiap kali hujan lebat. Ini sekali gus memastikan kawasan jalan raya dan penduduk sekitar tidak dinaiki air,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair dan Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut.-SabahNewsToday