Pilih Bahasa

Masanya sudah tiba Musa beri laluan kepada orang muda- Anifah

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anifah Aman berpendapat sudah tiba masa abangnya, Tan Sri Musa Aman memberi laluan kepada pemimpin generasi muda meneruskan pembangunan negeri Sabah.

“Selaku rakyat Sabah, saya berbangga dengan semua pembangunan yang sudah dilakukan Musa (sebagai Ketua Menteri) sebelum ini.

Datuk Seri Anifah Aman. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Mungkin semua yang beliau lakukan ketika itu bertepatan dengan eranya tetapi citarasa rakyat sentiasa berubah dan kemungkinan ia sudah tidak relevan kini,” kata Anifah yang kini mengetuai Parti Cinta Sabah (PCS).

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media Sabah, dekat sini, hari ini.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pemimpin adik-beradik itu berada dalam satu parti, Umno sebelum mengambil haluan masing-masing selepas Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang.

Musa kekal bersama Umno sementara Anifah pula keluar untuk menjadi Ahli Parlimen bebas.

Bagaimanapun beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangannya dalam PRU14 tidak sah dan batal.

Pada 29 Julai lalu, Musa yang juga Adun Sungai Sibuga, mengumumkan beliau telah menguasai Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan majoriti mudah kerana memiliki sokongan daripada 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain.

Namun, pada keesokan harinya Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dun Sabah.-SabahNewsToday