Pilih Bahasa

Masjid Al-Kauthar rancang laksana proses pembasmian, elak penularan Covid-19

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Imam Kariah Masjid Al-Kauthar Kampung Tanjung Aru, Rendra Ahmad membuat pengumuman berhubung penutupan masjid dan penangguhan sebarang aktiviti di masjid oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah bermula hari ini sehingga 26 Mac. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru, dekat sini bakal melaksanakan proses pembasmian kuman dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Imam Masjid Al-Kauthar, Rendra Ahmad berkata ahli jawatankuasa masjid masih berhubung dengan pihak berkaitan untuk pelaksaan proses itu namun pembasmian dijangka akan dilakukan dalam waktu terdekat. 

“Langkah ini merupakan inisiatif pihak masjid sebagai  pencegahan memandangkan masjid adalah salah satu tempat tumpuan awam khusunya bagi tujuan ibadah.

“Selain itu, masjid ini juga ditutup untuk sebarang aktiviti bermula hari ini hingga 26 Mac hadapan seiring arahan dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Sabah.

“Hal ini termasuklah semua program masjid melibatkan orang awam seperti solat Jumaat, solat berjemaah dan ceramah agama.

“Bagaimanapun, laungan azan tetap diteruskan namun hanya bertujuan untuk memaklumkan masuk waktu solat fardu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penyediaan ‘hand sanitizer’ dipintu utama serta ruangan solat Masjid Al Kauthar memudahkan jemaah bagi membasmi kuman pada pergelangan tangan ketika berada di dalam masjid. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Rendra berkata pihaknya juga sudah memaklumkan perkara sama menerusi semua laman sosial Masjid Al-Kauthar selain pengumuman melalui pembesar suara masjid.

Menurutnya, beliau meminta orang awam serta penduduk kampung di kawasan berhampiran memahami situasi penutupan operasi masjid berkenaan dan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Rendra berkata sebelum arahan penutupan masjid dan surau dikeluarkan, pihak masjid juga sudah mengambil langkah pencegahan dengan meletakkan ‘hand sanitizer’ dipintu utama serta ruangan solat supaya memudahkan jemaah menggunakannya setiap kali datang menunaikan solat ke masjid terbabit.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan jemaah Tabligh terutama di sekitar Tanjung Aru yang pernah menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu supaya menjalani saringan kesihatan di hospital mahupun klinik kesihatan berhampiran agar dapat mencegah penular Covid-19. – SabahNewsToday