Pilih Bahasa

Masjid baharu Kampung Pandasan dijangka siap tahun hadapan

Oleh Sabah News Today

KOTA BELUD: Kampung Pandasan bakal mendapat masjid baharu yang dijangka siap dalam masa satu tahun dari sekarang.

Hari ini merupakan Jumaat terakhir di masjid lama sebelum kerja-kerja perobohan dilakukan.

Samsuni (empat kanan) dan Ruji (dua kiri) mendapat taklimat mengenai projek masjid baharu Kampung Pandasan. Gambar SNT/Ihsan PKR

Manakala solat Jumaat seterusnya akan dipindahkan ke bangunan KAFA lama sehingga pembinaan masjid baharu siap.

Begitulah taklimat khas tentang status projek masjid dan kelas KAFA yang diberikan kepada Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Noor bersama Pegawai Kemajuan Negeri Sabah (SDO) Datuk Ruji Ubi semasa melawat ke tapak projek berkenaan hari ini.

Timbalan Pengerusi PKR Sabah Haji Mustapha Sakmud yang mengiringi lawatan tersebut mengucapkan terimakasih kepada pejabat SDO yang memberi keutamaan kepada masjid kampung berkenaan yang sudah terlalu uzur.

“Kita agak malu dengan keadaan masjid ini kerana ia merupakan tempat persinggahan utama umat Islam yang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu atau Kudat.

“Dengan adanya masjid baharu ini diharap wajah Kampung Pandasan akan terus berubah dan infrastruktur asas yang lain juga mendapat keutamaan,” kata Mustapha.

Samsuni menyerahkan barang keperluan dapur kepada wakil keluarga B40. Gambar SNT/Ihsan PKR

Semasa lawatan tersebut, Samsuni turut menyerahkan barang-barang keperluan dapur kepada 30 orang wakil keluarga golongan B40 sumbangan rangkaian Kedai SpeedMart 99 melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. 

Turut hadir sama Pegawai UPPM Tempasuk Hj. Ladim Abdul Rahman, Timbalan AMK PKR Kota Belud Muhammad Nuh, Ketua Armada Kota Belud Fairuz Rendaan, dan WKAN Mukim Pandasan Jikun Gunak.-SabahNewsToday