Pilih Bahasa

Masukkan Hari Komuniti Taman Kinabalu dalam kalendar pelancongan Sabah – Ewon

KUNDASANG, 3 Dis — Hari Komuniti Taman Kinabalu diharap dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah untuk menarik lebih ramai pelancong, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, Hari Komuniti yang tercatat dalam kalendar pelancongan itu juga secara tidak langsung akan mempromosi produk pelancongan luar bandar yang diusahakan komuniti dari 35 buah kampung di kawasan itu.

Gambar Bernama

Beliau berkata, Hari Komuniti adalah platform terbaik untuk mempromosi kepelbagaian warisan budaya komuniti khususnya tarian, pakaian, makanan dan sukan tradisi.

“Saya melihat Hari Komuniti ini sebagai platform terbaik kepada komuniti untuk berkongsi dan mempromosikan kepelbagaian warisan budaya masing-masing yang semakin dilupakan generasi muda.

“Oleh itu, menjadi harapan saya agar penganjuran Hari Komuniti dapat menyemarakkan lagi semangat generasi muda untuk menghidupkan dan mengangkat semula warisan budaya masing-masing yang semakin pupus kerana ia melambangkan identiti komuniti sekitar Taman Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Komuniti Taman Kinabalu Ke-9, di Dewan Taman Kinabalu, dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Fredian Gan, Pegawai Daerah Kota Belud, Diyannah Abdullah, Timbalan Pengarah 1 Taman-Taman Sabah, Dr.Maklarin Lakim, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan dan para peserta Ziarah Gunung Kinabalu 2019.

Beliau turut menyampaikan sumbangan ‘touchpoints’ berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung untuk keperluan asrama ahli persatuan itu di Laban Rata dan keperluan lain.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sebagai wakil rakyat yang mewakili banyak kampung yang bersempadan dengan Taman Kinabalu dan anak jati kampung kawasan itu, beliau turut mencadangkan Hari Komuniti diadakan setiap tahun dan pengisian acaranya ditambah baik.

“Dari segi pengisian aktiviti, ia boleh dikembangkan dengan melibatkan lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan atau menjemput syarikat pelancongan yang boleh bekerjasama dengan komuniti kampung yang mengusahakan ekopelancongan,” katanya.

Katanya lagi, pada tahun ini, 55 komuniti diberi peluang mendaki sehingga ke puncak Gunung Kinabalu berbanding hanya 35 orang pada 2017 manakala penziarah harian pula seramai 600 orang melibatkan 35 kampung berbanding hanya 25 kampung pada 2017.

“Pertambahan kuota penziarah pada tahun ini membuktikan komitmen Taman-Taman Sabah memenuhi aspirasi komuniti di sekitar Taman Kinabalu agar dapat meneruskan aktiviti tradisi yang dipanggil dalam bahasa Dusun ‘kakapan id gayo ngaran’.

“Ini menunjukkan semangat kerjasama penduduk kampung sekitar Taman Kinabalu kepada Taman-Taman Sabah untuk sama-sama menjaga warisan, kebersihan dan keindahan Taman Kinabalu bukan hanya sebagai punca pendapatan mereka tetapi warisan generasi akan datang,” katanya.

— BERNAMA