Pilih Bahasa

Masyarakat Bugis perlu usaha teraju pembangunan keusahawanan, perniagaan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Jaujan (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan di atas kereja berhias sempena Karnival e-Padaidi Bugis Sabah. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru masyarakat Bugis di negeri ini agar berusaha menerajui pembangunan keusahawanan dan perniagaan.

Beliau berkata bagi merealisasikan usaha itu, ahli Persatuan Perniagaan dan Industri Bugis Sabah perlu berkolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam membentuk usahasama yang lebih mantap.

Mohd Manuke (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Jaujan. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Program-program khusus bagi melahirkan lebih ramai usahawan Bugis yang berjaya perlu digerakkan secara sistematik dan berterusan sekaligus menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan Sabah sentiasa mengalu-alukan inisiatif seperti ini dapat dianjurkan secara konsisten untuk pembangunan keusahawanan dan perniagaan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata sempena perasmian Karnival e-Padaidi Bugis Sabah (Kareba), di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT)di sini hari ini.

Mohd Shafie diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong yang menyampaikan teks ucapan beliau.

Jaujan memukul gol sebagai simbolik perasmian Karnival e-Padaidi Bugis Sabah (Kareba). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Sarifudin Hata; Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Adun Balung Datuk Osman Jamal dan Pengerusi Kareba merangkap Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Bugis Sabah, Mohd Manuke.

Menyentuh berhubung karnival berkenaan, Mohd Shafie berkata ia dapat mengeratkan ukhuwah masyarakat khususnya persatuan-persatuan Bugis di negeri ini.

Perarakan masuk kenderaan pacuan empat roda daripada ahli Persatuan Rumpun Bugis Malaysia (PRBM). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Penganjuran majlis ini adalah satu wadah penting dalam mewujudkan kerjasama utuh lagi mantap bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Bugis di daerah ini malah juga di seluruh Sabah,” jelasnya.

Karnival yang berlangsung dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti dan pameran antaranya permainan sukan minda domino, pertandingan makan kuih tradisi, gerai jualan dan pameran, perarakan masuk kenderaan pacuan empat roda daripada Persatuan Rumpun Bugis Malaysia (PRBM), perarakan motosikal berkuasa tinggi serta perarakan kereta berhias. –SabahNewsToday