Pilih Bahasa

Masyarakat disaran lebih bertanggungjawab pelihara warisan tradisi

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Masyarakat seluruh negeri disarankan untuk lebih bertanggungjawab bagi memelihara dan mengekalkan warisan serta tradisi budaya masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata rasa bertanggungjawab itu penting untuk disemai rasa kesedaran dalam diri setiap individu bagi kelangsungan budaya sehingga generasi akan datang.

Christina (tiga kiri) bersama Datuk Mohamaddin Ketapi dalam majlis pelancaran Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan Motac

“Kita sedar bahawa peredaran masa telah menjejaskan beberapa keaslian budaya yang diwarsi dari satu generasi ke generasi akibat kemajuan teknologi.

“Dalam konteks ini, saya juga menyeru agar usaha-usaha yang berkesan diambil bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, tetapi juga sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosikan pelancongan berunsurkan kebudayaan.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama, penglibatan dan kehadiran rakyat dalam menjayakan program-program seperti ini jelas membuktikan kesedaran dan sokongan padu rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan, memelihara dan memartabatkan lagi kebudayaan, adat dan tradisi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kali ke-23 2019, di perkarangan Muzium Negeri, hari ini.

Sementara itu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menjemput orang awam supaya mengambil peluang untuk berkunjung ke Kompleks Muzium Sabah bermula 15 Julai sehingga 20 Julai kerana pelbagai program dirancang sepanjang acara itu berlangsung.

Katanya memang tidak dapat dinafikan Muzium memainkan peranan utama sebagai platform mempromosi destinasi dan produk pelancongan berunsurkan warisan tradisi.

Tambahnya ia selari dengan dasar kerajaan bagi memajukan industri pelancongan negara seiring perkembangan pesat industri tersebut di peringkat dunia.

“Kita perlu merebut peluang yang terbuka luas ini untuk bersaing dengan negara-negara lain di dunia agar industri pelancongan Sabah dan Malaysia bertambah kukuh,” katanya. -SabahNewsToday