Pilih Bahasa

MASYARAKAT ISLAM PUTATAN HARUS MAIN PERANAN MENYELURUH

Oleh Datu Ruslan Sulai

Uda menyampaikan hadiah kepada Pg Abdul Ghani Pg Abdul Wahab yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Putatan tahun ini. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Perhubungan DUN Petagas

Putatan: Masyarakat Islam di daerah ini perlu memainkan peranan menyeluruh bagi menunaikan kewajiban agama dan terus membudayakan amalan suka ke masjid dalam usaha meningkatkan daya keimanan dan ketaqwaan kepada tuhan.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Uda Sulai berkata, golongan ibu bapa juga perlu bijak memanfaatkan masa dalam kehidupan harian untuk mengajak anak-anak mereka mendekati masjid sebagai langkah menghindari gejala sosial yang semakin membimbangkan pada masa kini.

“Masyarakat Islam terutamanya di daerah Putatan ini harus memainkan peranan masing-masing untuk terus menambah bilangan jemaah di masjid bagi menunaikan solat serta menjalankan kewajiban agama seperti kuliah dan sebagainya.

Uda berucap di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Putatan di Masjid Jamek Kampung Ulu hari ini. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Perhubungan DUN Petagas

“Saya juga meminta golongan ibu bapa di daerah ini agar lebih membudayakan amalan suka ke masjid dalam usaha kita mengelakkan sebarang gejala sosial yang semakin menular di kalangan masyarakat dari peringkat akar umbi,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas itu berkata demikian bersempena perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Daerah Putatan di Masjid Jamek, Kampung Ulu, di sini, hari ini.

Uda bersalaman dengan para hadirin di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Putatan di Masjid Jamek Putatan Kampung Ulu hari ini. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Perhubungan DUN Petagas

Hadir sama adalah Pegawai Daerah Putatan Ag Abd Ghani Pg Yusoff, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim dan Pengerusi Masjid Jamek Kg Ulu Putatan, Othman Abdul Hamid.

Dalam majlis berkenaan, mantan guru Pg Abdul Ghani Pg Abdul Wahab dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Putatan kategori lelaki, manakala guru agama Fariza Jimmy dipilih bagi kategori wanita.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Uda berkata, Masjid Jamek Kampung Ulu itu mempunyai sejarah tersendiri di mana ia menjadi lokasi penting dalam penyebaran agama Islam di daerah Putatan pada masa lampau.

“Mungkin ramai tidak tahu, masjid ini mempunyai nostalgia tersendiri kerana menjadi salah satu tapak penyebaran agama Islam secara aktif pada zaman dahulu melalui Persatuan Islam Putatan di daerah ini.

“Sehubungan itu, kita akan menjadikan bangunan asal masjid ini yang terletak bersebelahan bangunan baru sebagai galeri pameran sejarah perkembangan Islam dari awal di Putatan dan termasuk pembabitan tokoh-tokoh Islam serta para Ulama suatu ketika dahulu,” katanya.-SabahNewsToday