Pilih Bahasa

Masyarakat Kudat harus kekalkan toleransi antara kaum

KUDAT: Penduduk di sini digesa mengekalkan toleransi tinggi antara kaum sekaligus menolak budaya extremism yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Industri, Ben Chong berkata amalan kehidupan majmuk yang sudah lama terjalin di Kudat harus dikekalkan untuk memastikan keharmonian dapat terus dikecapi.

Ben Chong bersalaman dengan para tetamu lain semasa tiba di rumah terbuka Datuk Bolkiah Ismail (kiri). Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjong Kapor

“Penduduk Kudat yang berbilang kaum harus berganding bahu menolak budaya extremis yang jelas bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan kaum yang sudah lama terjalin,” katanya selepas berkunjung ke rumah terbuka Aidil Fitri Adun Pitas Datuk Bolkiah Ismail pada Khamis.

Menurut Adun Tanjong Kapor itu, pelbagai perayaan yang telah dan bakal disambut harus digunakan sebaik mungkin untuk mempereratkan lagi permuafakatan penduduk Kudat.

Di samping itu, perayaan seperti Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas harus menjadi platform terbaik untuk semua penduduk berkunjung ke rumah sahabat handai, katanya.

Amalan sebegini sudah terbukti mengeratkan lagi sifat toleransi antara kaum.

“Kita harus bangga kerana masyarakat majmuk di Sabah sudah lama bertahan dan amat disenangi oleh orang-orang luar yang datang berkunjung ke Sabah terutama sekali yang dari Semenanjung.

“Gejala hasutan berbentuk sentimen perkauman yang disebarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawap tidak boleh dilayan kerana ianya akan membahayakan keamanan di Sabah terutama di Kudat,” katanya.

Chong berkata Kudat bakal menikmati kerancakan pembangunan seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Pelabur asing dikatakan amat berminat dengan potensi yang ada di Kudat. Ini sekaligus akan memberi peluang kepada rakyat Kudat untuk memperbaiki taraf kehidupan masing-masing.

“Semua ini tidak akan berlaku jika keamanan dan toleransi antara kaum gagal dikekalkan,” ujarnya.-SabahNewsToday