Pilih Bahasa

Masyarakat perlu utamakan keselamatan sepanjang masa: JBPM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pegawai dan anggota JBPM bergambar selepas Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Jalan Raya Peringkat Zon Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Jalan Raya Peringkat Zon Tawau sempena Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, kempen yang dijalankan setiap tahun itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang awam supaya mengutamakan keselamatan ketika berada di rumah dan di jalan raya.

Kamarulzaman (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Apabila kita melihat statistik yang kita rekodkan dimusim perayaan, insiden kebakaran dan kemalangan meningkat setiap tahun. 

“Dengan adanya kempen ini kita membawa masyarakat supaya lebih berhati-hati dimusim perayaan dan dapat meraikan perayaan berkenaan dalam suasana yang gembira,” katanya ketika ditemui dalam majlis berkenaan yang diadakan di sebuah stesen minyak, Batu 4, Jalan Apas Tawau di sini hari ini.

Kamarulzaman (dua dari kanan) memberi kempen risalah dan makanan berbuka puasa kepada pengguna jalan raya. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata, insiden kebakaran rumah yang sering menjadi penyebab adalah apabila individu itu membuat kerja lebih daripada satu. 

Katanya sebagai contoh, ketika seseorang itu sedang memasak dalam masa yang sama dia membuat kerja lain hingga terlupa kerja yang dilakukan sebelum itu. 

“Selain itu, terdapat juga punca kebakaran berlaku akibat penyambungan elektrik secara tidak sah dan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan hingga berlaku litar pintas dan terjadinya kebakaran,” katanya.

Sehubungan itu Kamarulzaman berkata program itu diharap akan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kebakaran yang boleh mengorbankan nyawa dan harta benda. – SabahNewsToday