Pilih Bahasa

MASYARAKAT TIONGHUA DIMINTA BERSABAR; KERAJAAN NEGERI BERUSAHA BAWA PERUBAHAN

Oleh Chris Maskilone

Datuk Christina Liew (dua kiri) bersama Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yaacob (kiri), Presiden Gabungan Persatuan Cina Tan Sri T.C Goh dan pemimpin lain melakukan gimik pelancaran Karnival Tahun Baru Cina 2019 malam tadi. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kaum Tionghua bersabar sementara Kerajaan Negeri Sabah yang baru ini berusaha membawa perubahan.

“Segala perubahan dan reformasi memerlukan masa untuk dilaksanakan.  Maka saya menyeru kesabaran dari kaum Tionghua yang majoriti adalah perniaga supaya terus menyokong Kerajaan Negeri Sabah Baharu.

“Kerjasama anda sudah tentu memberi kesan dan impak demi kejayaan bersama,” katanya merasmikan Karnival Tahun Baru Cina 2019 di Lintasan Deasoka di sini malam tadi.

Datuk Christina Liew (lima kiri), Tan Sri T.C Goh (empat kiri) dan pemimpin Gabungan Persatuan Cina Sabah. Gambar SNT/Chris Maskilone

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau sedar bahawa 90 peratus dari kawasan pilihanraya yang majoriti kaum Tionghua telah menyokong kerajaan negeri baharu melalui Parti Warisan, PKR dan DAP semasa Pilihanraya Umum lalu.

Mohd Shafie turut sedar masyarakat Tionghua di Sabah kini berasa gusar dengan kemerosotan harga minyak antarabangsa, ketidakstabilan harga kelapa sawit dan juga jumlah pelawat pelancong berkurangan ke Sabah.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa perkara tersebut pasti dapat diatasi dalam tempoh yang singkat.

“Lebih-lebih lagi dengan dasar dan asas ekonomi termasuk sumber-sumber yang kaya bagi Negeri Sabah akan dapat kita mencapai kejayaan yang lebih cemerlang secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kerajaan Negeri menyokong perayaan Tahun Baru Cina kerana ianya sesuai dengan hasrat mahukan rakyat jelata meneruskan perayaan masing-masing mengikut suku kaum dan keagamaan, tetapi ianya disertai dan dimeriahkan oleh semua lapisan rakyat tidak kira bangsa dan agama.

Mohd Shafie juga percaya Karnival Tahun Baru Cina ini dapat menampong keperluan semua pihak bukan sahaja rakyat tempatan malahan pelancong dari negara China untuk bersama-sama merayakan Tahun Baru Cina di Sabah.

Karnival Tahun Baru Cina 2019 adalah anjuran  Gabungan Persatuan Cina Sabah.-SabahNewsToday