Pilih Bahasa

MATTA Fair Sabah jana jualan RM35 juta

KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) — MATTA Fair Sabah yang berakhir baru-baru ini mencatatkan jualan sebanyak RM35 juta.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah Lawrence Chin berkata pameran yang berlangsung selama tiga hari mulai 10 Mei di ITCC Penampang itu menerima 40,000 pengunjung.

“China dan Korea Selatan di Asia merupakan destinasi utama diikuti dengan Turki dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk daripada kumpulan kebudayaan dari Indonesia serta pelajar kolej tempatan.

“Terdapat juga cabutan bertuah yang hadiahnya disumbangkan oleh Malaysia Airlines, MASwings dan Malindo Air serta pelbagai hotel dan agensi pelancongan,” katanya.

Chin berkata MATTA Fair Sabah yang berikutnya akan diadakan pada September ini.

— BERNAMA