Pilih Bahasa

Maut ketika hiking di Bukit Lampaki

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut ketika menjalani aktiviti mendaki Bukit Lampaki, di Kampung Tanaki, Putaton, di sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata mangsa Chin Yen Kui, 70, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik dibawa turun dari bukit menggunakan stretcher.

Katanya, pihaknya menerima panggilan bantuan mengangkat mangsa tidak sedarkan diri ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Lampaki, jam 3.20 petang.

“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikerah ke lokasi kejadian melalui jarak sejauh 10 kilometer daripada balai dengan menaiki jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Setiba di lokasi pasukan bomba memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa turun menggunakan stretcher. Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 4.50 petang,” katanya. -SabahNewsToday