Pilih Bahasa

Maut terkena renjatan elektrik ketika jolok buah mangga

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika menjolok mangga di kebun miliknya, di Kampung Terusan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 3.24 petang itu, mangsa Sarimah Dalam, 58, maut akibat melecur 90 peratus di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku ketika mangsa cuba menjolok buah mangga menggunakan penjolok diperbuat daripada logam.

“Tanpa mangsa sedari, alat berkenaan tersangkut di wayar elektrik berhampiran pokok mangga terbabit.

“Mangsa kemudian rebah selepas terkena renjatan elektrik daripada wayar berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal akibat melecur di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – SabahNewsToday