Pilih Bahasa

Maxsius Musa alami kecederaan, perlu direhatkan sebulan

Oleh Chris Maskilone

MALANG, Indonesia: Nasib malang menimpa pemain sayap Maxsius Musa apabila mengalami kecederaan berat pada bahu kirinya dalam perlawanan menentang Persija Jakarta di Stadium Kanjuruhan, Malang Jawa Timur semalam.

Kecederaan dialami Maxsius yang merupakan antara pemain tonggak skuad Tambadau akan memaksanya terlepas perlawanan-perlawanan awal Sabah dalam Liga Super kerana dikatakan perlu direhatkan selama sebulan.

Nasib malang menimpa Maxsius Musa yang dikatakan perlu direhatkan selama satu bulan. Gambar SNT/Ihsan Safa

Dengan cabaran Liga Super dijadualkan bermula pada awal bulan depan sudah pasti keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto.

Bahu kiri Maxsius “terlepas” setelah bertembung dengan pemain Persija dalam aksi kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur yang berkesudahan Sabah kalah 0-2.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon berkata Maxsius terpaksa dikeluarkan di babak kedua perlawanan dan kemudian dihantar untuk menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Malang.

“Selepas perlawanan itu, Maxsius mengadu sukar untuk mengangkat tangan kirinya kerana bahunya sakit.

“Kami kemudian membawa dia (Maxsius) ke hospital dan doktor mengesahkan bahunya terlepas selepas ujian x-ray dilakukan,” katanya, hari ini.

Henry berkata Kurniawan dijangka akan memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan lain untuk beraksi dalam perlawanan terakhir kumpulan B bertemu Persela FC di Stadium Kanjuruhan, esok.

“Saya harap para pemain akan lebih berhati-hati dan tidak terlalu ikut emosi ketika beraksi bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kecederaan berlaku,” katanya.

Baru-baru ini, presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony berkata mereka tidak meletakkan apa-apa sasaran di kejohanan Piala Gabenor Jawa Timur itu.

Katanya apa yang penting adalah membentuk keserasian di kalangan pemain serta mengelak daripada sebarang masalah kecederaan.-SabahNewsToday