Pilih Bahasa

Mayat bayi cukup sifat ditemui di loji kumbahan

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Menyayat hati apabila mayat bayi yang baru dilahirkan ditemui di dalam loji kumbahan Taman Mahkota Impian, di sini pagi tadi.

Mayat bayi malang yang cukup sifat itu ditemui pekerja loji berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, bayi itu yang dipercayai baru dilahirkan dan cukup sifat meninggal dunia dalam tempoh 24 jam hingga 36 jam.

“Mayat bayi itu sudah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Labuan untuk bedah siasat.

“Setakat ini jantina bayi terbabit belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhamad Farid berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati loji kumbahan itu khas untuk taman perumahan dan kali terakhir pekerja membuat kerja-kerja pembersihan pada 1 November lalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. -SabahNewsToday