Pilih Bahasa

Mayat bayi ditemui di tempat pembuangan sampah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang peniaga bakso terkejut selepas menemui mayat bayi lelaki di tempat pembuangan sampah berhampiran Taipan, Inanam, di sini, tengah malam tadi.

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah malam sebelum dilaporkan kepada polis untuk tindakan segera.

Mayat bayi ditemui di kawasan pembuangan sampai di Taipan Inanam, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Peniaga terbabit, Hassanudin Sabang, 28, berkata, ketika membuang sampah, dia melihat satu bungkusan berisi seakan-akan patung bayi.

Namun katanya, ketika mendekati bungkusan itu, dia terkejut selepas melihat plastik berkenaan sebenarnya adalah bayi lelaki.

“Disebabkan musykil, saya mendekatinya dan terus mengangkat bungkusan berkenaan sebelum melihat tubuh bayi yang masih bertali pusat.

“Saya betul-betul ingatkan patung, rupanya bayi. Saya amat terkejut dan terus meminta pertolongan daripada beberapa orang yang berada di situ sebelum menghubungi polis untuk bantuan segera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hassanuddin berkata, dia terkejut dan amat sedih kerana melihat kejadian seperti ini tambahan lagi dia turut mempunyai seorang anak berusia sebulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah lelaki yang masih bertali pusat, cukup sifat dengan berat kira-kira empat kilogram.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut dilakukan sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

“Mayat bayi berkenaan di bawa ke HQE untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – SabahNewsToday