Pilih Bahasa

Mayat ditemui tanpa kepala, tangan kanan dipercayai dibaham buaya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki tanpa kepala dan putus tangan kanan dipercayai dibaham buaya ketika sedang menjala ikan petang semalam di Kolam Tadahan Kilang Sahabat Batu 41, Kampung Kembara Sakti ditemui di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata mayat mangsa dikenali sebagai Stephen Tolok, 37, ditemui sekumpulan pencari kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pada jam 6.15 pagi.

Lokasi mangsa ditemui tanpa kepala dan tangan kanan dipercayai dibaham buaya. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna iaitu hilang bahagian kepala dan tangan kanan daripada bahu hingga rusuk.

“Kita turut menemui luka akibat bekas gigitan buaya di bahagian paha dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengecaman mayat mangsa sudah dilakukan isteri dan rakan mangsa melalui pakaian iaitu seluar yang digunakan mangsa ketika kejadian.

Jelasnya, mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu dan bedah siasat keatas mangsa sudah dilakukan pukul 1 tengah hari tadi.

Nasri berkata mangsa bersama seorang rakannya pergi menjala ikan di lokasi berkenaan pukul 5 petang, semalam sebelum mangsa digigit di bahagian kaki kanan dan diheret ke dasar kolam tadahan.

“Mangsa sempat mengeluarkan satu perkataan ‘Tolong!’,” lalu terus tenggelam.

“Rakan mangsa yang melihat kejadian bergegas pulang ke rumah kongsi untuk memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku dan meminta bantuan untuk mengesan mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – SabahNewsToday