Pilih Bahasa

Mayat kanak-kanak lemas di Kampung Tebobon ditemui

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jasad kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui hari ini setelah hampir dua hari dilaporkan hilang di sungai Kampung Tebobon di sini.

Mayat Mohd Putra Daniel Samsul yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai Sabtu petang ditemui oleh ahli keluarga mangsa yang turut serta dalam operasi mancari dan menyelamat (Sar), kira-kira pukul 12.19 tengah hari.

Mayat kanak-kanak berusia tiga tahun itu ditemui diantara timbunan tumbuhan dan kayu hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mayat kanak-kanak tersebut ditemukan lebih kurang tiga kilometer dari rumahnya dihanyutkan oleh arus sungai.

Mayat yang dijumpai dicelah-celah timbunan tumbuhan dan kayu hanyut dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Anggota Sar mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan tumbuhan dan kayu untuk dibawa ke tebing sungai. Gambar SNT/Alfred Petrus

Operasi Search and Rescue (Sar) pada hari ini bermula seawal pukul 6 pagi oleh anggota bomba bersama pasukan K9 (anjing pengesan).

Mangsa dikatakan hilang sekitar pukul 6 petang dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas telah menerima panggilan kecemasan berkenaan pada pukul 10.12 malam.

Mayat kanak-kanak tiga tahun berjaya dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Gambar SNT/Alfred Petrus

Anggota bomba dan penyelamat cuba mencari mangsa di kawasan sekitar sungai tempat dia dipercayai jatuh tetapi tidak berhasil dan operasi Sar terpaksa ditangguhkan pada pukul 11.25 malam.

Mangsa berjaya dinaikkan ke darat oleh pasukan bomba selepas ditemui. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Operasi bersambung pada  pukul 6.20 pagi kelmarin namun usaha mereka terbantut oleh hujan lebat pada sebelah petang dan ditangguh sehingga pagi tadi.-SabahNewsToday