Pilih Bahasa

Mayat Koperal Asman Ongkal ditemui

Oleh Junaidi Ladjana

SANDAKAN: Mayat Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Sandakan, di sini, semalam, ditemui pasukan keselamatan, jam 6.22 petang tadi.

Mangsa Koperal Asman Ongkal, 40, yang bertugas di Batalion 15 Sandakan, ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian bot karam berkenaan.

Koperal Asman Ongkal. – Gambar SNT/Ihsan PGM

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, Kepten (M) Zainudin Mohd Zuki berkata usaha mencari dan menyelamat yang masuk hari kedua, hari ini telah menemui mangsa yang dilaporkan hilang akibat perlanggaran bot.

“Usaha yang dijalankan oleh pasukan keselamatan hari ini, membuahkan hasil selepas mangsa yang dilaporkan hilang dapat ditemui pada 6.22 petang tadi.

“Mangsa ditemui tidak jauh daripada kawasan perlanggaran dan masih di kawasan sektor pencarian,” katanya ketika ditemui, petang tadi.

Menurutnya, mayat mangsa kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR di kawasan pencarian petang tadi. Gambar SNT/Ihsan APMM

“Ucapan jutaan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan yang terbabit dan kerjasama yang luar biasa dalam usaha membantu mencari mangsa.

“Juga kepada nelayan-nelayan tempatan yang telah bertungkus lumus mencari mangsa yang kita berjaya temui petang tadi,” katanya.

Menurutnya, dengan penemuan mayat mangsa ini, operasi SAR ditamatkan.

“Namun kita ada keperluan untuk siasatan ke atas bangkai bot yang tenggelam dengan kerjasama pihak polis,” katanya.

Semalam, Koperal Asman Ongkal, dilaporkan hilang selepas menyelamatkan beberapa mangsa dalam bot penumpang yang karam akibat terlanggar sebuah bot yang ditunda berhampiran Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, jam 5.40 petang.

Mangsa bersama 36 penumpang bot sedang dalam perjalanan dari Kampung Tanjung Aru menuju Jeti Pasar Umum, Sandakan. – SabahNewsToday