Pilih Bahasa

Mayat lelaki dikhuatiri dibaham buaya di Kinabatangan ditemukan

Bernama

KINABATANGAN, 21 Mac — Seorang pekerja lelaki di Danau Tanjung Bulat Jungle Camp dekat sini, yang dilaporkan hilang sejak semalam dikhuatiri dibaham buaya semasa menangkap ikan di sungai berdekatan, ditemukan mati pagi ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini, mayat mangsa dikenali sebagai Zulkifli Azmi, 23, ditemukan penduduk setempat pada 9.09 pagi  di sekitar lokasi dia dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba membantu mengambil mayat mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Kehilangan mangsa dilaporkan kira-kira 11 pagi semalam dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dikerahkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Menurut kenyataan itu, seorang saksi memaklumkan kepada pasukan berkenaan yang mangsa dikhuatiri dibaham buaya semasa menangkap ikan.

— BERNAMA