Pilih Bahasa

Mayat lelaki dikhuatiri hilang di hutan ditemui

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Mayat lelaki dikhuatiri hilang ketika masuk ke hutan bersama dua lagi rakannya, Selasa lalu, ditemui semalam.

Mayat mangsa Harianto Pungut berusia dalam lingkungan 30an ditemui penduduk kampung di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Lihak-Lihak, dekat sini, pukul 5.30 petang.

Anggota Sar mengambil maklumat mengenai mangsa kelmarin. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pukul 6.35 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian penemuan mayat mangsa.

“Mayat mangsa sudah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Semalam, Sabah News Today melaporkan mangsa bersama dua rakannya dipercayai masuk ke hutan di Kampung Siaban, kira-kira pukul 8 pagi, Selasa lalu.

Bagaimanapun, dua rakannya berjaya keluar dengan selamat pada pukul 4 petang namun mendapati mangsa masih tidak keluar dari hutan berkenaan. – SabahNewsToday