Pilih Bahasa

Mayat lelaki ditemui dengan dua kesan tikaman di dada, tengkuk

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Mayat lelaki dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan tengkuk ditemui di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 5.56 petang.

Mayat lelaki dengan dua kesan tikaman di bahagian dada dan tengkuk ditemui di dalam longkang di belakang bangunan sebuah premis, di Jalan Bantu, Fajar, dekat sini semalam. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian.

“Siasatan pada fizikal mangsa, terdapat dua kesan luka tikaman di bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.

“Kita turut menemukan satu pemutar skru dan pisau berhampiran lokasi mayat mangsa ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata tidak ada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa. Bagaimanapun, isteri mangsa berusia 39 tahun sudah mengecam mayat mangsa.

“Hasil soal siasat terhadap isteri mangsa mendapati, mangsa keluar dari rumah seorang diri dengan alasan mahu bersiar-siar selepas menutup warung makanan mereka pada pukul 12.45 tengah malam sebelum mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira pukul 5 petang, hari yang sama.

“Mangsa keluar dengan memandu kenderaan jenis Proton Wira berwarna merah gelap, nombor pendaftaran SB 871,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini kenderaan mangsa masih belum ditemui dan tidak ada sebarang laporan polis dibuat isteri mangsa atau keluarga berhubung kehilangan mangsa sebelum ini.

“Motif kejadian masih belum diketahui. Siasatan masih diteruskan dan mayat sudah dihantar ke Kamar Mayat Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday