Pilih Bahasa

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Kiabau

Oleh Junaidi Ladjana

BELURAN: Mayat lelaki berbaju merah ditemui terapung di tepi Sungai Kiabau, Telupid, dekat sini, semalam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan terlangkup kira-kira jam 1 tengah hari sebelum melaporkan kepada polis.

MAYAT lelaki berbaju warna merah ditemui di Sungai Kiabau, Telupid, Beluran. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mayat berkenaan dipercayai berusia lingkungan 50 tahun dan berbangsa Timor berdasarkan kepada keadaan fizikal mangsa.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan memakai berbaju kemeja T dan seluar panjang.

“Siasatan awal, polis percaya mangsa lemas di kawasan lain sebelum dibawa arus sungai ke tempat mayat ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Kasim berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur-unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Dutches of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran ditalian 089-511222 untuk membantu siasatan lanjut. -SabahNewsToday