Pilih Bahasa

Mayat lelaki ditemui; tiada dokumen hanya gambar wanita dalam dompet

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala ditemui di kawasan parit, tepi jalan Batu 6, Jalan Utama Kampung Cocos, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata mangsa dipercayai dalam lingkungan 30an ditemui mati oleh orang awam di kawasan terbabit, pukul 6.30 pagi.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam di kawasan parit tepi jalan Batu 6, Jalan Kampung Cocos, Lahad Datu. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Katanya pihaknya daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan pegawai penyiasat trafik bertindak ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal di lokasi, kedua-dua kasut mangsa tertanggal dan terdapat dua kesan luka di bahagian kepala mangsa.

“Kita menemukan dompet mangsa namun tiada dokumen pengenalan diri dijumpai manakala telefon bimbit mangsa pecah” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar wanita ditemui di dalam dompet mangsa. Polis mohon wanita terbabit tampil ke balai polis untuk bantu siasatan. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Beliau berkata terdapat serpihan lampu ditemui berhampiran mayat dan mangsa disahkan mati lebih 12 jam.

“Setakat ini siasatan dari semua aspek termasuk dari sudut trafik sedang dijalankan manakala klasifikasi kes akan ditentukan selepas bedah siasat.

Serpihan lampu kenderaan ditemui berhampiran mayat mangsa. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Tiada saksi kejadian ditemui namun kita menjumpai satu gambar wanita di dalam dompet mangsa dan kita mohon supaya wanita berkenaan dapat hadir ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya. – SabahNewsToday