Pilih Bahasa

Mayat lelaki ditemui tiga hari selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menguji tali flying fox

Oleh Junaidi Ladjana

TUARAN: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dekat Taman Duta Villa, Tamparuli, ketika menguji tali untuk aktiviti flying fox, pagi hari ini.

Mayat Tai Kee Ting, 29, ditemui oleh orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), jam 11.17 pagi tadi.

Mayat mangsa yang ditemui di Sungai Tuaran, tiga hari selepas terjatuh ketika memeriksa tali flying fox. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan yang membabitkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai ketika menguji tali untuk aktiviti flying fox, jam 10.28 pagi, pada 25 November lalu.

“Bertindak atas laporan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Zon Kota Kinabalu dan Unit Pengesan K9 juga digerakkan untuk operasi SAR.

“Operasi SAR mencari mangsa dilakukan pasukan penyelamat selama tiga hari bermula Isnin sehingga pagi ini sebelum mayatnya ditemui jam 11.17 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh orang awam dengan jarak 1.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

Anggota bomba semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 12.07 tengah hari tadi,” katanya. -SabahNewsToday