Pilih Bahasa

Mayat lelaki warga India ditemui terbaring dalam bilik sewa

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Misteri bau busuk yang dihidu rakan serumah terungkai apabila mayat lelaki warga India ditemui terbaring di bilik sewanya di tingkat 2, pekan Manggatal, di sini, pagi tadi.

Lelaki berusia 66 tahun itu ditemui selepas polis selepas menerima laporan daripada salah seorang penyewa yang terhidu bau busuk di luar bilik kira-kira jam 9 pagi.

Mayat mangsa yang ditemui terbaring di bilik sewanya di Manggatal, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Difahamkan, mangsa bekerja di salah sebuah restoran berhampiran bilik sewanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis ke lokasi dan menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring di bilik sewa disyaki sudah meninggal dunia.

ACP Habibi Majinji. Gambar Fail SNT

Katanya, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi siasatan lanjut dan langkah keselamatan pencegahan Covid-19.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri sejak enam bulan lalu dan bekerja di restoran berhampiran.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua hari yang lalu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sepasukan polis bersama kakitangan KKM lengkap memakai PPE mengangkat mayat mangsa yang ditemui terbaring di bilik sewanya di Manggatal, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Habibi berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa ada menceritakan dia menghidap masalah sakit jantung serta tekanan darah tinggi.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan berlaku sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk dapatkan pemeriksaab lanjut Covid-19 sebelum bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kelengkapan perlindungan diri (PPE) turut berada di lokasi kejadian. – SabahNewsToday