Pilih Bahasa

MAYAT TERAPUNG DENGAN BEG GALAS BERISI BATU

Oleh Mohd Adam Arinin

 

Anggota polis menjalankan siasatan terhadap mayat yang dijumpai terapung bersama sebuah beg galas yang berisi dua ketul batu besar di Sungai Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekumpulan remaja yang sedang asyik bercerita terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki yang disangka patung terapung dipermukaan air di Sungai Sembulan, di sini semalam.

Salah seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Azhar, 20, berkata ketika itu dia dengan beberapa rakan yang lain sedang duduk di jeti.

“Sewaktu kami berborak, saya terlihat objek seakan patung yang sedang tenggelam timbul dihanyutkan arus sederhana sungai ketika itu.

Anggota polis menjalankan siasatan terhadap mayat yang dijumpai terapung bersama sebuah beg galas yang berisi dua ketul batu besar di Sungai Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Setelah mengamati objek berkenaan secara teliti dengan dibantu nyalaan suluh rakan, kami semua terkejut ianya mayat seorang lelaki dewasa dan segera memberitahu orang yang berada di sekitar,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang di Sungai Sembulan dan pihak polis menerima panggilan telefon pada jam 9.20 malam.

“Mangsa ketika ditemui lengkap berpakaian dan membawa beg galas. Dalam beg galas mangsa pula, pihak polis menemukan dua ketul batu besar disimpan dalam beg berkenaan.

Dua ketulan batu besar terdapat didalam beg galas yang dipikul bersama mayat yang dijumpai terapung di Sungai Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pemeriksaan pada badan mangsa juga tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan kecederaan pada muka mangsa yang dipercayai terhasil setelah mayat mangsa berada beberapa hari dipermukaan air,’ katanya ketika dihubungi.

Menurut Habibi, mayat mangsa yang identitinya belum diketahui kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

“Mangsa berumur lingkungan 40-an dan disyaki berbangsa India hasil daripada pemerhatian warna kulit dan mempunyai tatu dilengan kiri kanan dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” tambahnya.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau pekerja mengikut seperti ciri -ciri yang terdapat pada mangsa diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes ASP Alimuddin Usman di talian 016-6656641 untuk mengesan waris mangsa. -SabahNewsToday