Pilih Bahasa

MAYAT WANITA MANGSA BOT KARAM DITEMUI

Oleh Alfred Petrus

SANDAKAN: Mayat salah seorang mangsa bot karam petang semalam ditemui nelayan terapung di perairan Pulau Nunuyan tengah hari tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid identiti mangsa wanita berumur sekitar 40an itu masih belum dikenal pasti.

Mayat mangsa bot karam ditemui nelayan diperairan Pulau Nunuyan tengah hari tadi. Gambar SNT/Ihsan APMM

Dalam kejadian semalam lima orang iaitu dua lelaki, termasuk tekong bot, seorang wanita dan dua kanak-kanak masih hilang selepas bot mereka terbalik dan karam akibat laut bergelora.

Bot tersebut membawa 11 orang yang bertolak dari Pulau Taganak Filipina pada hari Khamis menuju ke Sandakan sebelum ianya karam.

Berdasarkan penerangan mangsa yang diselamatkan semalam oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM)) iaitu lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 29 tahun, mereka telah berpaut kepada bot yang terbalik itu selama 18 jam.

Gambar mangsa yang terselamat selepas lebih 18 jam hanyut dan hanya berpaut pada bot terbalik ditemui dalam keadaan lemah semalam. – Gambar SNT / Ihsan TLDM Sandakan

Mohd Khairulanuar berkata Bot Kilat 08 APMM digegaskan ke lokasi sebaik mendapat maklumat mengenai penemuan mayat tersebut pada 12.44 tengah hari.

Mayat kanak-kanak berusia tujuh tahun juga dijumpai lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian pada Jumaat petang di perairan Pulau Nunuyan.

Menurutnya pihaknya masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi empat lagi yang masih hilang.

Katanya maklumat SAR terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa. -SabahNewsToday