Pilih Bahasa

Mayat wanita warga asing ditemukan di tepi bangunan beli-belah

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Pengunjung di sebuah pusat beli belah di sini, digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terbaring di lorong belakang bangunan berkenaan, malam tadi.

Mayat wanita berusia 33 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis, jam 7.18 malam.

Keadaan mayat mangsa yang ditemui terbaring di tepi bangunan pusat beli-belah, Penampang. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata sebaik menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati seorang wanita ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan di tempat kejadian.

“Punca kematian belum dikenal pasti dan mangsa bukan terjatuh dari bangunan kerana pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan teruk atau mangsa mengalami patah tulang.

Pasukan perubatan dan polis di lokasi kejadian. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Bagaimanapun mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata mangsa adalah warga asing.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – SabahNewsToday