Pilih Bahasa

MBS sumbang material untuk buat 1,000 set PPE kepada JKNS

KOTA KINABALU, 14 Mei  — Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui Majlis Belia Sabah (MBS) hari ini menyerahkan material untuk membuat 1,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata sumbangan material membuat PPE berkenaan adalah satu daripada aktiviti yang dilaksanakan oleh MBS melalui program Dapur Belia.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Dana untuk melaksanakan program ini adalah daripada kementerian dan sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan dalam program Dapur Belia,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian material membuat PPE berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dan Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri.

Phoong berkata material membuat PPE berkenaan akan dijahit oleh pihak yang akan dilantik oleh JKNS sendiri.

“PPE berkenaan sangat berguna untuk petugas barisan hadapan di hospital dan di pusat-pusat kuarantin di Sabah dan sumbangan ini adalah sebagai sokongan MBS khususnya kementerian dalam menangani COVID-19 di Sabah,” katanya.

Pada masa yang sama, Phoong berkata melalui program Dapur Belia, MBS juga telah berjaya mengagihkan sumbangan bungkusan makanan kepada 25,000 belia di seluruh Sabah.

“Sumbangan berkenaan adalah untuk membantu para belia di negeri ini yang terkesan dengan penularan COVID-19,” tambahnya.

— Bernama