Pilih Bahasa

MBS ulangi pendirian mahu takrifan umur belia dibuat berperingkat

KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) — Majlis Belia Sabah (MBS) hari ini mengulangi pendiriannya yang mahu transisi penurunan takrifan umur belia dibuat secara berperingkat daripada 40 tahun kepada 35 tahun termasuk melihat implikasinya terhadap gerakan pembangunan belia di Sabah khususnya di luar bandar.

Presidennya Ahmad Farid Sainuri berkata ketiadaan transisi penurunan takrifan umur belia dikhuatiri akan mengakibatkan kelompongan pemimpin pelapis berkebolehan memimpin pertubuhan belia dengan efektif.

Keputusan drastik mendefinisikan semula istilah belia itu juga tidak mencerminkan realiti sebenar keperluan pertubuhan belia dalam melahirkan pemimpin muda berwibawa, kata beliau.

“Ekosistem pembangunan belia sedia ada (terutama di Sabah) masih tidak mendorong kepimpinan muda untuk ke depan. Di Sabah contohnya, kira-kira 90 peratus pemimpin menerajui lebih 900 kelab dan persatuan belia di negeri ini berumur 30 tahun dan ke atas.

“Oleh sebab itu, MBS mencadangkan transisi itu dilakukan secara berperingkat, jangan terburu-buru selain ia juga perlu merangkumi semua aspek dengan melihat keperluan belia di Sabah kerana pendedahan pendidikan serta penglibatan aktiviti belia Sabah di luar negara juga sangat berbeza (dengan negeri lain).

“Kita jangan mengabaikan sahabat belia di kampung yang ada antaranya masih tidak menikmati kemudahan jalan raya. Peluang mereka tidak sama dengan belia di bandar. Kita perlu memberi mereka peluang menceburkan diri dalam aktiviti belia sekali gus membentuk kepimpinan mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Farid berkata demikian bagi mengulas Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi bacaan pertama di Parlimen, semalam.

RUU itu antaranya bertujuan menurunkan had umur maksimum dalam takrif belia kepada 30 tahun serta mengadakan had umur minimum dan maksimum bagi ketua dan pemegang jawatan suatu pertubuhan belia.

— BERNAMA